Oleh Zainal Yusof
DAKWAAN Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa ada 90 kelulusan pembangunan di kawasan bukit dibuat ketika Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjadi Menteri Besar, adalah satu dakwaan yang cukup berat.
Berat di sini bukan bermakna dakwaan itu tidak betul atau dakwaan palsu, tetapi jika benar ianya berlaku, Dr. Mohamad Khir bukan sahaja perlu menerima hukuman dari keputusannya itu, malahan, 90 kelulusan yang dibuatnya itu, nyata jauh lebih banyak dari jumlah pencalonan jawatan Ketua Pemuda Umno yang diterimanya.
Mohamad Khir boleh menafikan tetapi penafian bukan jawapan dan penyelesaian. Malahan, kesilapan yang dibuat, bukan sahaja menimbulkan dakwaan rasuah dan salah laku pengurusan, malahan, kesilapan memberi kelulusan ini, menyebabkan nyawa manusia terancam.
Ketika ramai orang sedang menatapi kisah kemusnahan 14 banglo, kematian empat orang dan kesusahan yang terpaksa ditanggung beribu penghuni Bukit Antarabangsa, pendedahan yang dibuat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ini, jika betul, tidak boleh dimaafkan.
Malahan, Umno sendiri perlu memikirkan satu tindakan untuk 'menghukum' seorang bekas Menteri Besar (baca: Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo) yang pernah diberi kepercayaan mengetuai Kerajaan Negeri Selangor, kerana gopoh, gelojoh dan tidak langsung memikirkan keselamatan penghuni yang mendiami kawasan-kawasan lereng bukit yang kononnya tempat yang kediaman yang terlalu hebat.
Sebenarnya, jika Mohamad Khir tidak terlibat dalam meluluskan 90 kawasan bahaya ini, tetapi, hanya Sembilan kawasan sahaja, pun satu kesalahan yang tidak boleh diselesaikan dengan hanya meminta maaf dan menulis dalam blognya, dengan pelbagai alasan untuk menafikan, sebaliknya patutlah melupakan terus politik dan banyak-banyak beribadat untuk meminta maaf ke atas semua kejadian yang menakutkan ini.
Rasanya, bukan PBT (dalam kes ini Majlis Perbandaran Ampang Jaya) mempunyai cukup 'kekuatan' untuk memberi kelulusan dan CF jika tiada tangan-tangan ghaib dari pejabat orang yang paling berkuasa di peringkat negeri, melakukannya.
Walaupun salah seorang tuanpunya banglo, Datuk Tajudeen Abd Wahab mengatakan beliau sudah mendiami kawasan ini sejak 20 tahun lalu, tetapi keruntuhan yang berlaku sebenarnya bukan disebabkan struktur banglo yang didiami sejak 20 tahun itu runtuh sendiri, sebaliknya kesan daripada pembangunan baru di sekitar kawasan yang ditimpa bencana itu.
Memang sudah menjadi kebiasan, setiap pembangunan, akan disertakan dengan janji-janji manis, 'kediaman yang dikelilingi kehijauan, pemandangan, sekolah dan berdekatan dengan segala kemudahan…' tetapi janji-janji itu hanya tinggal janji kerana ada Menteri Besar yang tidak sabar-sabar untuk menjadi kaya dengan memberi kelulusan, apabila ada permohonan baru di sekitar kawasan tersebut.
Di Selangor, setiap pembangunan kawasan perumahan atau industry, biasanya akan dikaitkan dengan rasuah. Kebenaran biasanya tidak menepati syarat dan kadang-kadang pengondolan bukit-bukit, seolah-olah tiada apa yang perlu dipertahankan lagi.
Isu pengondolan bukit dan hutan di Selangor bukan isu baru. Perdana Menteri sendiri pernah dibawa melihat kawasan pengondolan ini dari udara, melahirkan rasa kesalnya kerana banyak bukit sudah dibotakkan, termasuk kawasan-kawasan sensitif.
Ketika Mohamad Khir menyusun ayat-ayat cantik untuk menafikan dan terus dengan sindrom menafikan, tetapi dia tidak boleh melarikan diri dari tanggungjawab ini. Malahan, dengan menuding jari kepada bekas-bekas Menteri Besar sebelumnya juga bukanlah jawapan kepada semua dakwaan ini.
Jika benar ia diluluskan ketika dia belum menjadi Menteri Besar, apakah tindakan yang dia buat untuk menghalang semua ini dari terus berlaku. Mustahil, dia tidak mempunyai jalan untuk menghentikan projek songsang ini kerana 'nyawa manusia lebih penting' dari implikasi undang-undang.
Selalunya, satu-satu projek yang sudah diluluskan, tidak boleh dibatalkan kerana 'implikasi undang-undang' dijadikan alas an tetapi suatu ketika dahulu, ketika Mohamad Khir MBPJ disaman penduduk-penduduk kerana kes Mentari di Petaling Jaya, Mohamad Khir pernah mengeluarkan kenyataan, "saya sedia masuk penjara jika membela setinggan dianggap salah oleh mahkamah."
Hari ini, Mohamad Khir kenalah tampil untuk memberi penjelasan, yang mana dia buat kerana keperluan, yang mana dia buat untuk sesuatu yang dijanjikan dan yang mana dia buat untuk membuktikan kepada umum, dia sebenarnya tidak layak menjadi seorang pemimpin negeri yang bijak.
Ketika dia dilantik menjadi MB Selangor, kejadian Highland Tower sudah berlaku. Tidak bolehlah dia belajar dari peristiwa yang menyayat hati itu? Jika boleh, mengapa, dalam era kepimpinannya, masih ada kelulusan diberi kepada kawasan-kawasan yang tidak diyakini selamat, termasuk Ulu Yam Perdana yang meragut dua nyawa baru-baru ini.
Menyalahkan segala-galanya kepada pemaju projek perumahan sahaja, amatlah tidak adil kerana sebagai Menteri Besar, Mohamad Khir tentunya mempunyai penasihat termasuk dari JKR, PBT, JPS dan pelbagai agensi sebelum sesuatu kelulusan itu diberikan.
Jika kawasan yang bahaya pun boleh diluluskan, Khir Toyo jangan marah kalau ada dakwaan mengatakan ia melibatkan rasuah dalam kelulusan tersebut. Jika tidak, mustahil ia boleh diluluskan dan masih banyak kawasan-kawasan lereng bukit sedang dibangunkan sekarang, mungkin saki baki dari kelulusan yang Khir pernah buat dulu, termasuk di sekitar Selayang, Batu Caves, Sungai Tua, Hulu Yam selain Hulu Kelang dan Kuala Selangor, termasuk Sungai Buloh.
No comments:
Post a Comment